Tuesday, October 12, 2010

PJ 3311 SUKAN REKREASI

REKREASI

HASIL PEMBELAJARAN

Di akhir topik ini, anda seharusnya dapat:

1. Mendefinisi rekreasi;
2. Membezakan rekreasi aktif dan rekreasi pasif;
3. Menghuraikan definisi dan konsep rekreasi;
4. Menghuraikan prinsip dan prosedur keselamatan semasa berekreasi;
5. Membincangkan ciri-ciri dan aktiviti rekreasi aktif dan pasif; dan
6. Mengenal pasti sumbangan rekreasi kepada gaya hidup sihat.


PENGENALAN

Bagi memiliki hidup gaya hidup yang sihat, rekreasi adalah satu keutamaan. Rekreasi juga adalah antara aspek penting di dalam kehidupan seharian seseorang. Pada ketika ini anda telah mengetahui aspek-aspek penting dalam gaya hidup sihat yang lain seperti kepentingan nutrien, aktiviti kawalan berat, senaman dan sekarang rekreasi. Anda akan dapat memahami dengan lebih mendalam pengertian sebenar rekreasi dalam Topik 6. Anda juga akan mengetahui prinsip-prinsip rekreasi serta langkah-langkah dan prosedur keselamatan rekreasi. Selain itu anda juga akan mempelajari perbezaan di antara rekreasi aktif dan rekreasi pasif dari segi ciri-ciri, aktiviti dan sumbangan kepada gaya hidup sihat.



1.1 PENGENALAN REKREASI

Sejak beberapa dekad ini, rekreasi telah menjadi salah satu aspek penting dalam kehidupan harian yang serba moden ini. Ini semua disebabkan pertambahan masa lapang, perkembangan ekonomi yang baik, minat mendalam individu terhadap sukan yang memberi dorongan kepada kerajaan membina tempat-tempat beriadah, berekreasi dan bersukan. Rekreasi boleh dilakukan di mana-mana sahaja walaupun di negara yang moden dan sibuk. Ini semua bergantung kepada individu itu sendiri untuk melakukannya. Sebenarnya, rekreasi juga ada kaitan dengan senaman iaitu bagi menyihatkan badan. Di sini, anda juga akan mempelajari perbezaan antara rekreasi dan masa lapang. Ini amat penting kerana kedua-duanya membawa pengertian yang hampir sama tetapi sebenarnya berbeza.


1.1.1 Definisi dan Konsep

Rekreasi adalah penting di dalam kehidupan seseorang. Tetapi adakah anda benar-benar faham mengenai pengertian dan konsep rekreasi? Perkataan rekreasi berasal daripada bahasa Latin iaitu recretio yang bererti penyegaran kesihatan (Torkildsen, 1992). Dengan kata lain rekreasi bermaksud penyegaran kembali jasmani dan rohani seseorang. Torkildsen juga menyatakan rekreasi ialah pengalaman individu (apa yang individu itu lakukan sebagai seorang insan), sebagai aktiviti atau sebagai institusi (struktur yang dibuat untuk komuniti) ataupun cara lain sebagai satu proses (apa yang berlaku kepada individu) dan sebagai struktur (rangka kerja di mana rekreasi dilatih). Manakala menurut Edington & Kraus et al. (1990), rekreasi merupakan satu aktiviti yang dilakukan semasa waktu lapang, menyenangkan dan mempunyai kualiti sosial. Rekreasi secara keseluruhannya digambarkan sebagai perbuatan seseorang individu menyertai sesuatu aktiviti dengan kerelaan serta kesenangan pada masa lapang. Selain itu, rekreasi juga boleh dikenal pasti sebagai pengalaman emosi semasa penglibatan di dalam aktiviti. Dengan erti kata lain rekreasi mestilah melibatkan kerelaan diri seseorang. Aktiviti rekreasi boleh dikatakan sebagai satu institusi sosial di mana ia boleh dilihat sebagai penggerak utama ekonomi dalam masyarakat. Ia juga salah satu tanggungjawab penting dalam kerajaan dan sumber pekerjaan bagi masyarakat. Masa lapang pula boleh didefinisikan sebagai masa lapang daripada tanggungjawab kerja dan diri sendiri.

Pengertian perkataan rekreasi dan masa lapang mestilah difahami supaya tidak ada kekeliruan di masa hadapan. Walau bagaimanapun, kedua-dua perkataan ini mempunyai pertalian iaitu rekreasi selalunya dibuat pada masa lapang. Justeru itu dalam menuju ke arah gaya hidup sihat seseorang itu mestilah pandai membahagikan masa supaya masa untuk berekreasi wujud. Rekreasi terbahagi kepada dua jenis iaitu:

(a) Rekreasi Aktif

(b) Rekreasi Pasif


Soalan :

1. Apakah yang anda faham mengenai rekreasi?

2. Kenapa rekreasi sangat penting dalam gaya hidup sihat?




1.2 REKREASI AKTIF

Semasa Revolusi Industri berlaku pada era 1970-an, pekerjaan di United Kingdom lebih tertumpu kepada sektor perkilangan. Walau bagaimanapun pada 1980-an, terdapat suatu pergerakan yang menjurus ke arah dasar ekonomi perkhidmatan di UK, di mana orang kurang lagi aktif di tempat kerja. Hasilnya, semakin ramai pekerja mempunyai lebih banyak masa terluang untuk menyertai aktiviti-aktiviti rekreasi. Fenomena ini kemudian meningkat dari tahun ke tahun dan sejak akhir-akhir ini timbul pula aktiviti yang luar biasa dan berbahaya seperti bungee jumping.


1.2.1 Ciri-ciri Rekreasi Aktif

Rekreasi aktif banyak melibatkan aktiviti fizikal (Rajah 6.1). Pada zaman ini, ramai orang lebih cenderung melakukan rekreasi aktif. Ini kerana ia memberikan pengalaman, cabaran dan keseronokan kepada individu. Berikut ialah ciri-ciri rekreasi aktif:

(a) Kegiatan sukan, sama ada sebagai pemain atau penonton – golf, bola sepak, berenang, bermain tenis, boling, gimnastik.

(b) Rekreasi luar – suka membawa kereta, bersiar di tepi pantai, berjalan atau berkelah.

(c) Melancong lebih dari satu malam – membuat perjalanan yang jauh, lawatan, cuti hujung minggu dan bercuti.

1.2.2 Aktiviti-aktiviti Aktif

Pada masa ini anda mungkin sudah mendapat gambaran mengenai aktiviti-aktiviti rekreasi aktif. Seperti yang anda ketahui, aktiviti-aktiviti rekreasi aktif banyak melibatkan kegunaan fizikal berbanding rekreasi pasif. Dengan erti kata lain, rekreasi aktif menggunakan lebih tenaga.


Soalan :

Apakah ciri-ciri rekreasi dan aktiviti-aktiviti yang paling disukai orang ramai pada masa kini? Sokong hujah anda dengan menyatakan sebabnya.



1.2.3 Sumbangan kepada Gaya Hidup Sihat

Rekreasi juga merupakan satu senaman. Oleh itu kebaikan atau sumbangannya terhadap gaya hidup adalah amat besar kerana dengan berekreasi, anggota tubuh badan kita sentiasa bergerak. Secara tidak langsung ia menyebabkan badan anda berpeluh, membakar kalori dan mengurangkan lemak yang berlebihan di dalam badan. Rekreasi aktif banyak menyumbang kepada kesihatan fizikal kerana ia melibatkan aktiviti-aktiviti permainan. Selain itu rekreasi aktif juga boleh meningkatkan stamina anda. Ini kerana kebanyakan rekreasi aktif menggunakan ketahanan kardiovaskular atau aerobik. Contohnya, jika anda selalu berjoging atau berjalan kaki dengan masa dan kaedah yang betul bukan sahaja stamina anda yang meningkat tetapi juga tahap kesihatan anda. Rekreasi aktif juga dapat membantu dari segi emosi. Apabila anda melakukan perkara-perkara yang anda gemar seperti bermain bola sepak bersama-sama rakan, anda akan berasa gembira. Hasilnya, anda juga akan berasa ceria dan tenang menempuh rutin harian. Semangat kerjasama sesama sendiri juga wujud di dalam rekreasi aktif. Contohnya bila anda menyertai perlawanan bola jaring atau futsal, kerjasama antara rakan sepasukan adalah penting selain daripada kemahiran dan kecergasan. Ini kerana ia membentuk satu pemahaman yang mantap apabila anda bermain dan merupakan faktor utama memenangi sesuatu perlawanan.



1.3 REKREASI PASIF

Walaupun pada masa kini rekreasi aktif menjadi pilihan orang ramai, masih terdapat lagi ruang untuk rekreasi pasif. Sekali lagi, corak kerja di sesuatu negara memberi kesan kepada aktiviti masa lapang. Semasa era 1970an, ekonomi UK dilihat sebagai ‘orang sakit di Eropah’. Ia merosakkan disebabkan tidak efektif, perhubungan industri yang tidak baik dan kejatuhan produktiviti. Sejak pada masa itu ekonomi UK telah melalui transformasi yang dramatik dan banyak penyakit lampau telah dapat diubati. Namun begitu, perubahan ini bermakna ramai orang sekarang bekerja dengan bersungguh-sungguh sehingga menyebabkan tekanan di tempat kerja. Bagi golongan ini, rekreasi pasif seperti membaca atau mendengar muzik adalah cara terbaik menghilangkan stres dan tekanan kerja. Selalunya terdapat masalah untuk membezakan kegiatan aktif dan kegiatan masa lapang, dan dalam kebanyakan kes, orang lebih gemar menggabungkan kedua-duanya. Justeru itu, sesetengah orang akan membahagikan masa lapang mereka kepada aktiviti yang dilakukan di dalam dan di luar rumah.


1.3.1 Ciri-ciri Rekreasi Pasif

Secara dasarnya konsep rekreasi adalah sama, iaitu melakukan aktiviti yang anda suka pada waktu lapang. Walau bagaimanapun terdapat perbezaan di antara rekreasi aktif dan rekreasi pasif. Antara perbezaan ketara di antara kedua-dua rekreasi ini ialah dari segi aktiviti. Rekreasi aktif banyak melibatkan tenaga dan fizikal seperti bermain bola dan mendaki gunung. Manakala, rekreasi pasif berlainan kerana ia kurang menggunakan tenaga atau kekuatan fizikal berbanding rekreasi aktif. Ia lebih kepada kaedah relaksasi yang boleh menghiburkan mereka dari segi emosi dan psikologi.


Antara ciri-ciri rekreasi pasif adalah:

(a) Aktiviti yang dibuat di rumah – menonton TV, membaca, mendengar muzik, bercucuk tanam dan melakukan hobi lain.

(b) Aktiviti berunsur sosial yang tinggi – menghibur atau melayan kawan atau saudara, makan di luar dan menghadiri majlis keramaian.

(c) Aktiviti kebudayaan, pembelajaran dan minat kepada perkara-perkara artistik – pergi teater, konsert, pameran dan muzium.


1.3.2 Aktiviti-aktiviti Pasif

Aktiviti-aktiviti rekreasi pasif mempunyai perbezaan dengan rekreasi aktif di mana ia banyak melibatkan aktiviti relaksasi. Pada zaman sekarang, kebanyakan orang lebih suka berekreasi pasif dengan menonton televisyen atau mendengar radio. Berdasarkan statistik aktiviti-aktiviti rekreasi di Amerika dari tahun 1987 ke 1996, kemunculan teknologi seperti televisyen dan radio memberi impak yang ketara dalam cara mereka menghabiskan masa lapang mereka.


1.3.3 Sumbangan kepada Gaya Hidup Sihat

Seperti yang anda sudah ketahui rekreasi pasif tidak banyak menggunakan tenaga seperti rekreasi aktif. Namun begitu ia tetap memberi kebaikan atau sumbangan kepada gaya hidup sihat. Rekreasi pasif adalah penting di dalam gaya hidup sihat kerana ia memberikan keseronokan atau hiburan kepada seseorang dari segi psikologi. Apabila anda berasa ceria atau seronok, anda akan bertambah sihat. Ini disebabkan jiwa anda lebih tenang dan tidak mengalami tekanan. Cara terbaik memulihkan seseorang yang menghadapi tekanan atau stres ialah dengan menenangkan mereka dengan relaksasi, keseronokan, kegembiraan dan hiburan. Rekreasi pasif juga memupuk semangat perpaduan kerana ia menggalakkan pergaulan dengan orang ramai. Selain itu, ia juga boleh merapatkan perhubungan sosial anda dengan keluarga, rakan dan masyarakat.

Walaupun rekreasi pasif tidak menggunakan tenaga yang banyak seperti rekreasi aktif, ini tidak bermakna ia tidak baik. Sebagai contohnya bercucuk tanam juga adalah rekreasi pasif, tetapi ia tetap mengeluarkan peluh. Dengan erti kata lain ia juga memberi sumbangan yang sama iaitu meningkatkan kesihatan. Namun jika anda selalu menghabiskan masa dengan menonton televisyen atau mendengar radio tanpa melakukan pergerakan yang boleh mengeluarkan peluh, ini tidak baik untuk kesihatan. Ia boleh menambahkan lemak berlebihan serta meningkatkan kolesterol dalam badan anda dan seterusnya mendedahkan anda kepada penyakit-penyakit yang berbahaya. Oleh itu anda bukan sahaja perlu menjaga pemakanan atau kesihatan dengan bersenam, tetapi anda juga mesti menjaga mental dan emosi anda sekali. Apabila kesemua ini dapat diseimbangkan, hidup anda akan menjadi lebih sihat, ceria dan cergas.



1.4 LANGKAH-LANGKAH DAN PROSEDUR KESELAMATAN SEWAKTU BEREKREASI

Seperti yang anda ketahui rekreasi biasanya melibatkan aktiviti fizikal seperti bermain, melakukan senaman, mendaki gunung dan sebagainya. Aktiviti sedemikian mungkin boleh mendedahkan seseorang kepada risiko yang tidak diingini seperti kecederaan atau masalah kesihatan. Ini bukan kerana aktiviti itu berbahaya tetapi disebabkan oleh kecuaian manusia. Oleh yang demikian langkah-langkah dan prosedur keselamatan amat penting bagi mengelak kejadian tidak diingini dari berlaku.

Berikut adalah beberapa langkah keselamatan yang harus anda patuhi semasa berekreasi:

(a) Pakai pakaian yang sesuai.
(b) Anda mesti mengetahui tahap kesihatan anda sebelum menyertai aktiviti-aktiviti sebegini.
(c) Pastikan kelengkapan atau peralatan yang digunakan mencukupi.
(d) Pastikan peralatan atau kemudahan yang digunakan selamat dipakai.
(e) Pastikan keadaan persekitaran selamat.
(f) Sediakan peti kecemasan dan catatkan nombor ambulans.
(g) Sentiasa ikut peraturan yang disediakan.



Soalan :

Bolehkah anda fikirkan langkah-langkah keselamatan lain yang patut anda ambil jika anda hendak berkhemah di dalam hutan? Bincang bersama pensyarah dan rakan sekelas anda.


RUMUSAN

* Perkataan rekreasi berasal daripada bahasa Latin iaitu recretio yang bererti penyegaran kesihatan (Torkildsen, 1992). Dengan kata lain, rekreasi membawa maksud penyegaran kembali jasmani dan rohani seseorang.

* Rekreasi ditakrifkan sebagai satu aktiviti yang dilakukan semasa waktu lapang, menyenangkan dan mempunyai kualiti sosial.

* Semasa melakukan aktiviti fizikal seperti bermain, bersenam dan mendaki gunung, ada kemungkinan kita berhadapan dengan risiko yang tidak diingini.

* Rekreasi aktif banyak melibatkan aktiviti fizikal.

* Rekreasi pasif berlainan kerana ia kurang menggunakan tenaga atau kekuatan fizikal berbanding dengan rekreasi aktif. Ia lebih bersifat relaksasi dari segi emosi dan psikologi.

* Bila berekreasi, anggota tubuh badan kita bergerak. Secara tidak langsung ia membuat badan anda berpeluh.

* Cara terbaik memulihkan seseorang yang menghadapi tekanan atau stres ialah dengan menenangkan fikiran melalui relaksasi, keseronokan, kegembiraan dan hiburan.

* Selain itu, rekreasi aktif juga boleh meningkatkan stamina anda.


KATA KUNCI

Aktiviti rekreasi

Bersenam

Bersukan

Ciri-ciri rekreasi

Langkah keselamatan

Masa lapang

Melancong

Rekreasi aktif

Rekreasi pasif



Sumber: Modul OUM - HBHE 3103

2 comments:

Muhammad Afwan Ahamad said...

Terima ksih encik.. sbb utk sem 3 PPISMP ni ramai spot kluar rekreasi aktif dgn pasif..

Muhammad Afwan Ahamad said...

Terima ksih encik.. sbb utk sem 3 PPISMP ni ramai spot kluar rekreasi aktif dgn pasif..